DOMAIN DAN INDIKATOR LITERASI UNDANG-UNDANG PENGGUNA DI MALAYSIA

Authors

  • Norhafifah Samsudin Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.
  • Elistina Abu Bakar Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.
  • Zuroni Md Jusoh Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.
  • Afida Mastura Muhammad Arif Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Seksyen 3 Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah memberi definisi yang lengkap di mana pengguna di bawah undang-undang ialah mereka yang memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan daripada jenis yang lazimnya diperoleh bagi maksud penggunaan diri, rumah tangga atau isi rumah tetapi bukan tujuan membekalkan barangan tersebut secara perdagangan atau menggunakannya dalam satu proses pengilangan. Definisi ini adalah penting kerana menghuraikan ciri-ciri pengguna agar mereka dilindungi dan berupaya untuk menuntut ganti rugi melalui mekanisma tebus rugi yang dikhaskan kepada pengguna seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia sekiranya hak mereka dicabuli.
Walaupun, pengguna telah dilindungi dibawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 tetapi sekiranya tidak mendapat sebarang pemahaman tentang undang-undang tersebut maka perlindungan yang diberikan terhadap pengguna akan menjadi sia-sia sahaja (Elistina & Naemah, 2010). Dasar Pengguna Negara (2011) turut menekankan bahawa pengguna perlu mempunyai perlindungan diri iaitu mampu melindungi diri mereka dengan menggunakan perundangan yang sedia ada di Malaysia. Jika dilihat daripada sudut lain, perkara ini dijelaskan melalui pendayaupayaan iaitu pengguna perlu menggunakan segala maklumat yang terdapat di persekitaran diri mereka sebagai satu medium pertahanan diri seperti mampu menjadi individu yang berpengetahuan, cekap dan berwibawa dalam melindungi diri mereka (McGregor, 2005). Malahan, menurut Laily, Sharifah & Syuhaily (2013) pendayaupayaan berkait rapat dengan „ kuasa‟ dan keupayaan untuk melakukan suatu tindakan oleh individu mahupun organisasi.
Walaupun, konsep pendayaupayaan telah diperkenalkan kepada pengguna tetapi sekiranya pengetahuan daripada aspek undang-undang pengguna kurang ia akan memberikan pelbagai masalah kepada pengguna. Sebagai contohnya, Suraiya & Faridah (2012) menjelaskan pengetahuan yang kurang terhadap hak dan proses tuntutan akan menyebabkan pengguna sukar untuk mempertahankan diri mereka apabila diambil kesempatan oleh pemasar. Selain itu, laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (2016) juga menjelaskan sebanyak 48563 aduan telah diterima oleh mereka dan ia merupakan satu peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 8.6% dengan kerugian yang melibatkan jumlah RM255,623,706. Malahan, aduan pengguna bagi kategori industri kenderaan bermotor telah membawa kerugian sebanyak RM79,181,869 dengan jumlah aduan sebanyak 3874. Ternyata, kelemahan dari sudut literasi undang-undang telah menyebabkan peningkatan aduan dan kerugian kepada pengguna di Malaysia.

Downloads

Published

13-09-2024

How to Cite

Samsudin, N., Abu Bakar, E., Md Jusoh, Z., & Muhammad Arif, A. M. (2024). DOMAIN DAN INDIKATOR LITERASI UNDANG-UNDANG PENGGUNA DI MALAYSIA. Jurnal Pengguna Malaysia, 31, 9–26. Retrieved from https://jpmjurnal.com/jpm/article/view/120

Issue

Section

Articles