POLA PEMBUANGAN SISA PEPEJAL ISI RUMAH DI MALAYSIA

Authors

  • Zuroni Md Jusoh Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia
  • Syuhaily Osman Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia
  • Afida Mastura Muhammad Arif Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia
  • Roslina Mat Salleh Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Abstract

Jumlah penjanaan sampah sentiasa bertambah dari tahun ke tahun malahan semakin berganda. Peningkatan penghasilan sisa pepejal merupakan suatu masalah yang semakin meruncing ketika ini. Peningkatan penghasilan sisa pepejal dipengaruhi oleh pembangunan ekonomi, pertumbuhan penduduk dan perindustrian. Pada tahun 2020 dijangkakan penjanaan sisa pepejal akan meningkat kepada 30,000 tan sehari (Aslina & Haliza, 2015). Hal ini bermakna sebanyak 215 kilogram sisa makanan dibuang oleh setiap isi rumah setiap tahun (Tan, 2016). Hasil sampah atau sisa yang ada seharusnya boleh dikitar semula atau diguna semula untuk tujuan pengurangan jumlah sampah. Kini, program pengasingan sisa pepejal telah dijalankan di enam buah negeri iaitu Pahang, Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor serta dua buah Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya. Program ini sedikit sebanyak membantu ke arah untuk mencapai sisa sifar. Sisa sifar atau dikenali sebagai “zero waste” telah diperkenalkan di Barat sejak tahun 1980-an. Perlaksanaan sisa sifar ini mempunyai peranan yang besar dalam melahirkan sebuah fenomena baru untuk menyelamatkan bumi akibat sisa pembuangan yang berlebihan dan tidak terkawal. Sisa sifar merupakan suatu konsep yang mengurangkan pembuangan sisa ke tempat pelupusan sampah. Selain itu, sisa sifar juga melibatkan kegiatan memaksimumkan amalan kitar semula dan meminimumkan sisa lebihan, mengurangkan penggunaan, serta memastikan barangan yang digunakan boleh dikitar semula, diguna semula, dibaiki dan dikompos (Muhammad Hisyam, 2014).
Kewujudan sisa sifar adalah implikasi daripada usaha ke arah mengendalikan pengurusan persekitaran terutamanyan sisa pepejal atau sampah sarap buatan manusia demi mencapai kualiti hidup supaya kehidupan menjadi lebih selesa dan sejahtera. Tambahan pula, proses perbandaran yang pesat, peningkatan jumlah penduduk, pertumbuhan kawasan industri, perdagangan, institusi dan kediaman, serta peningkatan penggunaan mengakibatkan semakin banyak barangan dan sisa yang akhirnya dibuang (Teuku Afrizal & Abdul Rahman, 2013). Pada tahun 2020, dijangkakan sisa pepejal bandaran yang dihasilkan di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 9,820,000 tan. Nilai ini berasaskan peningkatan kadar sisa pepejal bandaran pada 2.14% dari tahun 1998 hingga 2000 (Johari et al., 2012). Pengurusan sisa pepejal bukan sahaja menjadi masalah di Malaysia dan negara membangun sahaja bahkan perkara ini juga menjadi masalah di negara-negara maju. Hal ini dibuktikan oleh Environmental Protection Agency, EPA (2012) di mana penduduk Amerika Syarikat telah menjana sisa pepejal sebanyak 200 juta tan bagi tempoh setahun dan menyebabkan kesesakan di tapak pelupusan. Maka dengan ini, seiring dengan kepesatan peningkatan jumlah penduduk sesuatu pendekatan yang efektif perlu dilaksanakan agar permasalahan peningkatan sisa pepejal akibat pertumbuhan penduduk dapat ditangani.
Selain itu, menurut Hasnah, Dody, Noraizah, Mazna dan Sarifah (2012), kerja-kerja pelupusan sampah dalam pengurusan sisa pepejal perbandaran menelan belanja yang lebih tinggi berbanding dengan kerja pengutipan. Hal ini benar jika masyarakat berhasrat mahu meningkatkan prestasi kebersihan alam sekitar melalui penggunaan teknologi moden seperti penggunaan incinerator. Pendekatan dalam mengeluarkan jumlah perbelanjaan yang tinggi dalam kerja pelupusan sampah sarap adalah lebih tinggi berbanding dengan kerja pengutipan. Hal ini merupakan permasalahan yang perlu diberi perhatian dalam usaha ke arah melaksanakan sisa sifar. Kajian-kajian lepas banyak membincangkan tingkah laku kitar semula antaranya khusus kepada aspek pengetahuan, sikap dan amalan dengan menggunakan pelbagai instrumen seperti fokus kajian Zuroni, Bukryman, dan Laily, (2012); Mumtazah dan Norhafidah, (2009); Karlson, Srebotnjak dan Gonzales, (20007); Laroche, Bergeron, dan Barbaro-Forleo, (2001); De Young, (1990); aspek pengetahuan, Iwan et al. (2012); Hasnah et al. (2012); aspek kesilapan sikap dan amalan, Jamilah et al. (2011); Muhammad Hisyam (2014) dan sebagainya.
Secara umumnya, kajian dijalankan untuk mengkaji pola pembuangan sisa pepejal isi rumah sifar di Malaysia. Diharap kajian ini dapat membantu pihak-pihak yang berkenaan sebagai sumber untuk dijadikan rujukan untuk kajian akan datang atau sebagainya.

Downloads

Published

13-09-2024

How to Cite

Md Jusoh, Z., Osman, S., Muhammad Arif, A. M., & Mat Salleh, R. (2024). POLA PEMBUANGAN SISA PEPEJAL ISI RUMAH DI MALAYSIA . Jurnal Pengguna Malaysia, 31, 27–40. Retrieved from https://jpmjurnal.com/jpm/article/view/121

Issue

Section

Articles