POLA PENGGUNAAN TENAGA DALAM KALANGAN PENGGUNA BANDAR
Abstract
Tenaga elektrik ialah satu keperluan yang penting dalam kehidupan. Kepentingan tenaga elektrik dan kegunaannya terlalu banyak untuk dinyatakan. Penggunaan peralatan elektrik juga didapati dapat meningkatkan taraf kehidupan di samping menambah kesejahteraan dan keselesaan hidup (Pachauri, Mueller, Kemmler & Spreng, 2004). Tahap penggunaan peralatan elektrik dalam dunia yang serba maju ini semakin meningkat dan pengguna semakin bergantung pada sumber tenaga dalam melaksanakan sebarang aktiviti harian. Penggunaan tenaga global, baik penggunaan tenaga di bangunan kediaman mahupun komersial terus meningkat sehingga mencapai angka antara 20% dan 40% di negara-negara maju, melebihi sektor-sektor utama yang lain, iaitu sektor perindustrian dan pengangkutan. Pertambahan penduduk, permintaan untuk keperluan bangunan dan tahap keselesaan yang semakin meningkat serta masa yang dihabiskan di dalam bangunan juga bertambah, justeru menyebabkan permintaan tenaga akan terus meningkat pada masa akan datang (Pérez-Lombard, Ortiz & Pout,2008). Kajian mendapati bahawa kira-kira 30% penggunaan tenaga di seluruh dunia digunakan dalam di kediaman (International Energy Agency, 2004). Alat penghawa dingin didapati menggunakan 45% daripada jumlah penggunaan kuasa elektrik tahunan dan seterusnya peti sejuk yang menggunakan 11% daripada penggunaan tenaga tahunan. Kipas dan pemanas air pula setiap satunya mengambil sebanyak 10% dan 9% daripada jumlah penggunaan tenaga tahunan. Sementara itu peralatan seperti televisyen, periuk nasi dan seterika menggunakan jumlah kuasa elektrik yang paling kurang (Kaynakli 2012; Mekhilef, Saidur & Safari, 2012; Radhi 2011). Jumlah bilangan isi rumah yang menggunakan penghawa dingin di Malaysia juga telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh peningkatan pendapatan isi rumah (Mahlia et al., 2004). Penggunaan tenaga per kapita majoriti penduduk telah meningkat dengan ketara, terutama di negara-negara maju (Al-Mofleh, Taib, Mujeebu & Salah, 2009).
Downloads
Published
How to Cite
Issue
Section
License
Copyright (c) 2024 Jurnal Pengguna Malaysia

This work is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.