AKTIVITI MASA LAPANG DALAM KALANGAN REMAJA

Authors

  • Siti Balkis Bari Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna
  • Naimah Mohd Salleh Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Abstract

Secara umumnya setiap remaja mempunyai masa yang tidak menuntutnya untuk melakukan kerja-kerja rasmi, seperti belajar bagi yang masih bersekolah. Oleh itu, pada waktu tersebut selalunya golongan ini akan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, swasta atau organisasi bagi memenuhi masa yang terluang. Jenis aktiviti yang ingin disertai dan jumlah jam yang ingin digunakan adalah mengikut kehendak remaja itu sendiri tanpa diatur atau dipaksa oleh mana-mana pihak. Namun begitu, masa dan jenis aktiviti akan dihadkan kepada golongan remaja jika sesuatu aktiviti yang dilakukan terdapat unsur-unsur jenayah dan boleh mengundang bahaya kepada mereka. Selain itu, latar belakang keluarga seperti lokasi tempat tinggal dan pendapatan juga boleh mempengaruhi jenis aktiviti yang akan dilakukan pada masa lapang dalam kalangan remaja. Pengisian aktiviti-aktiviti yang berfaedah dalam masa lapang boleh mengurangkan masalah salah laku dalam kalangan remaja dan dapat membantu mematangkan diri bagi menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Pelbagai definisi masa lapang yang diutarakan oleh golongan cendiakiawan. Namun begitu, kebanyakan daripada golongan ini bersetuju bahawa masa lapang didefinisikan sebagai waktu atau masa yang diperoleh oleh seseorang itu yang tidak digunakan untuk kerja-kerja rasmi seperti membuat kerja-kerja sekolah, menghadiri kelas tambahan dan lain-lain (World Youth Report, 2003). Jumlah masa lapang yang diperolehi oleh golongan remaja adalah berbeza mengikut budaya, gender, bangsa, agama dan tempat tinggal. Di negara membangun, didapati remaja lelaki mempunyai jumlah masa lapang yang melebihi remaja perempuan. Laporan ini ditambah lagi dengan hanya setengah warga Amerika mempunyai masa lapang, sementara hanya sedikit sahaja warga Eropah mempunyai masa lapang manakala, ¼ daripada bilangan penduduk Asia mempunyai masa lapang (World Youth Report, 2003).

Downloads

Published

13-09-2024

How to Cite

Siti Balkis Bari, & Mohd Salleh , N. (2024). AKTIVITI MASA LAPANG DALAM KALANGAN REMAJA. Jurnal Pengguna Malaysia, 18, 131–149. Retrieved from https://jpmjurnal.com/jpm/article/view/225

Issue

Section

Articles