POLA PERBELANJAAN AWAL MUSIM PERSEKOLAHAN
Abstract
Perancangan kewangan keluarga amat penting dalam mencapai kesejahteraan hidup. Hal ini kerana perancangan kewangan dilihat sebagai suatu proses di mana individu atau keluarga merancang masa depan mereka (Husniyah, Syuhaily, M. Fazli, M. Amim, dan Ahmad Hariza, 2005). Perancangan kewangan yang baik dapat membantu individu dan keluarga merealisasikan matlamat diri dan anggota keluarga yang dibentuk sebelum ini. Matlamat ini boleh dicapai melalui pembangunan dan pelaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh.
Menurut Kapoor, Dlabay, dan Hughes (2004), antara aspek penting bagi seseorang individu atau sesebuah keluarga fokuskan dalam melakukan proses perancangan kewangan ialah perancangan hal ehwal kewangan itu sendiri. Hal ehwal kewangan ini merangkumi pemerolehan kewangan dan merancang penggunaannya, termasuklah perbelanjaan dan penyimpanan, peminjaman, pengurusan risiko, pelaburan dan pengawalan masa depan. Perancangan kewangan sewajarnya melibatkan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri, dan mengambil kira keperluan dan kehendak semua anggota keluarga.
Bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, salah satu komponen utama yang perlu dimasukkan dalam kategori perbelanjaan mereka semasa menyedia dan merancang kewangan keluarga ialah perbelanjaan sebelum musim persekolahan. Di Malaysia, berlakunya peningkatan sebanyak 19.7 peratus dalam perbelanjaan penggunaan bulanan purata isi rumah dalam tempoh lima tahun. Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia menunjukkan perbelanjaan penggunaan bulanan purata bagi tahun 2004/2005 adalah sebanyak RM1953 sebulan berbanding dengan tahun 1998/1999, iaitu sebanyak RM1631.
Downloads
Published
How to Cite
Issue
Section
License
Copyright (c) 2024 Jurnal Pengguna Malaysia

This work is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.