PENGETAHUAN DAN PERSEPSI TERHADAP PERLINDUNGAN TAKAFUL KELUARGA

Authors

  • Yussyafiqah Yunus Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia
  • Husniyah Abdul Rahim Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia

Abstract

Pengurusan risiko ialah salah satu komponen dalam pengurusan kewangan. Tindakan sewajarnya dalam mengurus risiko akan dapat membantu seseorang mengurangkan kerugian atau kehilangan akibat risiko yang berlaku. Menurut Saiful Azhar (2003), pengurusan risiko merupakan pengawalan terhadap kemungkinan berlakunya kehilangan akibat daripada risiko tulen dan spekulatif. Salah satu kaedah untuk menguruskan risiko menurut Kapoor, Dlabay dan Hughes (2004) adalah dengan memindahkan risiko kepada syarikat insurans atau organisasi lain. Kaedah lain ialah melalui penghindaran risiko, pengurangan risiko dan penerimaan risiko. Di Malaysia, terdapat dua jenis pelan perlindungan risiko yang ditawarkan, iaitu pelan insurans konvensional dan takaful.
Perniagaan takaful dibahagikan kepada dua jenis iaitu takaful keluarga dan takaful am. Takaful keluarga merupakan kombinasi perlindungan dan tabungan jangka panjang yang kebiasaannya melebihi tempoh setahun. Perlindungan takaful keluarga meliputi kematian dalam tempoh polisi, penyakit atau hilang upaya kekal dan pendapatan tetap ketika persaraan. Peserta boleh memilih cara pembayaran sama ada melalui caruman bulanan, suku tahunan, setengah tahunan atau tahunan. Produk utama takaful keluarga ialah pelan keluarga biasa (gadai janji, kesihatan, pendidikan dan ‘rider’), pelan anuiti (pendapatan tetap ketika persaraan) dan pelan berkaitan pelaburan (Persatuan Takaful Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia, 2005). Takaful am pula ialah skim perlindungan ke atas harta benda dan liabiliti akibat kerugian atau kerosakan secara jangka pendek (Islamic Banking and Finance Institute Malaysia, 2007).

Downloads

Published

13-09-2024

How to Cite

Yunus , Y., & Abdul Rahim , H. (2024). PENGETAHUAN DAN PERSEPSI TERHADAP PERLINDUNGAN TAKAFUL KELUARGA . Jurnal Pengguna Malaysia, 15, 65–76. Retrieved from https://jpmjurnal.com/jpm/article/view/247

Issue

Section

Articles